sebaik sahaja turun dari kereta serena itu, dia terus menyalami teman-temannya. destinasi mereka akan berpisah di situ sahaja. dia tidak berhajat untuk memasuki kedai buku ternama di negara ini. dia mahu meneruskan perjalanannya tiba di tempat tinggalnya.
pesanan ikhlas menyapa gegendang telinganya, "awak, jangan nangis-nangis dah ye."
segaris senyuman terbit di bibir merah pucatnya. tiada perasaan. tubir matanya mula bergenang, lantas muka yang sedia tak beriak dipalingkan. tangan kiri yang kosong tiada memegang barangan diangkat tanda pamitan.
hatinya terkesan pada pesanan itu. salahkah menangis? berat hati mengusung titik-titik air yang menjadi awan. meredup suasana damai dengan pancaran matahari yang sikit malu-malu. ah, gerimis mula bertandang waktu hati merusuh begini. jangan sampai sakit kepala.
waktu itu, lagu menangislah-di-bahuku-di-sini-ku-untukmu bergendang di mindanya. air yang sedia bertakung di tubir mata sudah mula berlari-lari ke pipi. mengapa setiap kali ada pesanan bermula dengan jangan, dia gagal untuk akur. jangan menangis, srikandi. jangan!
sedangkan, menangis itu keperluan. menangis supaya dapat menerima hakikat kejadian manusia itu lemah. menangis itukan sinonimnya kalah! menangiskan tanda lemah. sebagai manusia yang berfitrah, izinkanlah dia menangis.
ini hari perpisahan. memang tiada motivasi untuknya. air mata itulah motivasi hebat untuknya. supaya dia meyakini, esok dia bukan lagi di sini.
untuk pesanan jangan nangis-nangis lagi, ia sesuatu yang tak dapat dilakukan. kerana fasa ini fasa perpindahan.
No comments:
Post a Comment